Ahad, 11 September 2016

KUATLAH WAHAI WANITA





         

                          Assalamualaikum semua. Sedihkan video kat atas tu. Kisah seorang ibu tunggal yang berhempas pulas untuk meneruskan hidup setelah ketiadaan suami. Persetankan, tak usah ditanya tak perlu dikorek tak payah diselidiki kehilangan itu kerana mati atau sudah terhenti jodoh. Atau siapa yang bersalah.. atau kenapa dan mengapa. Siapa yang tak pernah melakukan kesilapan, bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan? Cik Mas mahu kita lebih menghargai pahit derita yang dilalui untuk meneruskan hidup, membesarkan anak kecil sendirian. Dengarlah keluh kesah mereka ini yang berusaha meneruskan hidup tetapi sering kali di pandang kecil masyarakat.

                          Belum puas melayar pahit manis berumah tangga, tiba-tiba pasangan kita pergi meninggalkan kita. Dijemput Ilahi.. memang kematian itu pasti, tapi jiwa perempuan perempuan yang lembut susah untuk menerima. Sebolehnya kita mahu pasangan kita terus tersenyum bernafas disamping kita. Kenapa tengah diulit bahgia ini yang melanda? Dialah tempat kita mengadu, tempat bercerita tiba-tiba hilang dari pandangan mata..Rindu bukan kepalang..tapi hidup perlu diteruskan.                                                   

    

              ******************************************************************

                        Bila menoleh kebelakang banyak janji waktu bercinta yang belum ditunaikan. Banyak lagi impian yang belum terlaksana. Satu persatu sumpah tidak dilaksana. Kalau dulu wangi semuanya tapi kini minyak wangi pun berbau busuk. Pasangan yang diharap hingga ke Jannah meninggalkan kita setelah ada yang lebih disayangi.


                      Sebenarnya entri kali ini bukan untuk Cik Mas bicarakan kenapa perpisahan terjadi..mungkin bukan kali ini. Tapi Cik Mas mahu berkongsi penderitaan ibu tunggal yang membesarkan anak-anak setelah ketiadaan suami. 

 Siapa yang sangka hujan ditengah hari, bila mengharap panas sampai ke petang? Siapa pula yang mahu cinta dan sayang yang disulam dari pandang pertama tak bertahan seperti diharapkan? Siapa yang tak mengalirkan airmata bila janji dan sumpah setia tiba-tiba dinodai dan dilupa? Siapa yang tak terasa hiba bila kesayangan setelah berjanji sehidup semati tapi pergi meninggalkan kita bersama wanita lain.

                      Yang mana satu pun kisah hidup, kita tetap kena terus melangkah. Menjadikan anak-anak sebagai kekuatan sebagai tiang supaya tak tersungkur kerana kecewa. Sering apabila berlaku kes bila kita dah keseorangan tak ramai yang datang mendekati kita..takut kena bantu. Ada yang melempar kata nista seolah ingin melihat kita terus tersungkur. Yang mendekati dengan niat baik memang ada tapi kalau dikira banyak lagi jari ditangan. Sebenarnya mereka ini tak mengharapkan simpati pun kerana banyak antara mereka yang menjadikan kehilangan suami sebagai tangkal azimat yang paling kuat. Cuma diminta beri kesempatan untuk terus hidup bersama diplanet ini.


                     Banyak kisah Cik Mas jumpa dan baca betapa wanita-wanita ini tidak mempedulikan makan minum sendiri yang penting perut anak terisi. Bau sendawa anak sahaja cukup mengenyangkan mereka. Melihat anak lelap dibilik yang berhimpit menjadikan malam wanita-wanita ini damai. Bila ke pasar malam atau kaki lima atau stesen LRT seperti cerita akhbar di atas melihat perempuan berjualan atau anak kecil menjaja barang, berhentilah untuk amati. Cik Mas pasti ramai yang berjualan adalah kerana desakan hidup. Kalau tidak mana mungkin anak dibiarkan menjual kuih. Kalau tidak mana mungkin wanita itu bersila menyapa orang menawarkan makanan jualan, Cik Mas dan anda semua tak berjual sampai begitu, anak-anak kita juga tak begitu, kerana hidup kita tak mendesak. Jadi amatilah mereka,hulurlah seringgit dua, pasti wang kecil tak seberapa itu berbalas senyuman manis.


                   Kerana kita semua cukup keperluannya kekadang ia membuat kita terasa yang semua orang macam kita. Kerana kita tak pernah kelaparan kita pun terasa memang semua orang punya wang untuk makan. Cik Mas pernah bertembung denan wanita bersama anak beratur mendapatkan makanan dari van yang mengagihkan makanan untuk gelandangan di ibukota dan ketika itu jam sudah pun pukul 1.00 pagi. Entri Cik Mas kali ini menuntut kita semua memberi kesempatan pada wanita-wanita ini lagipun bukan simpati yang mereka minta.


 Izinkan anak-anak mereka membesar macam anak kita. Kalau kita tidak boleh meniup kata semangat jangan ditutur kata yang boleh meruntuh semangat mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan